Saturday, 16 March 2013

EDU3106....dedicated to Hjh. Haslina



Pendahuluan                                                                     

Perbezaan dan kepelbagaian sosio-budaya sukar untuk dinafikan dalam sebuah Negara seperti Malaysia yang lahir dari kelompok masyarakat yang berbilang etnik iaitu Melayu, Cina, dan India yang menjadi majoriti terbesar serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak serta orang asli dan kaum – kaum lain menjadi kaum minoriti. Setiap etnik membawa sosio-budaya yang berbeza  diwarisi dari nenek - moyang yang terdahulu.

Sebelum membincangkan lebih lanjut berkaitan kepelbagaian sosio-budaya, terlebih dahulu dihuraikan maksud budaya itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan sosio-budaya? Menurut ensiklopedia bebas http://ms.wikipedia.org/ budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal – hal berkaitan budi dan akal manusia. Manakala daya ialah perkataan Melayu Polynesia bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Apabila kedua – dua perkataan ini dicantumkan (budaya) membawa maksud tenaga, fikiran, usaha rohani atau kuasa yang menggerakkan jiwa.
Menurut Kamus Dewan Edisi ke 3,1996,m/s:180 menyatakan budaya dapat ditakrifkan sebagai tamadun atau peradaban.
Ia juga bermaksud kemajuan fikiran atau akal budi (cara berfikir dan berkelakuan).
Dr. Mohd. Arshad Hj. Taib ( bekas professor Madya UiTM) telah menyatakan dalam laman web http://dppwp.wordpress.com/usrah/pembangunan -sistem-sosio-budaya-islam-dalam-kontek-masyarakat-malaysia/ maksud sosio-budaya ialah amalan yang berupa gaya hidup dan peradaban bagi sesuatu masyarakat, lahir dari pegangan dan kecenderongan diri masyakarat berkenaan dalam berbagai bidang hidup, untuk memberi kepuasan dan meransang pembangunan hidup masyarakat tersebut.
Sementara itu menurut Andreas Eppink pula, kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur – struktur kemasyarakatan, keagamaan selain penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri – ciri khas sesebuah masyarakat. Pengertian sebegini dipersetujui oleh Edward B. Taylor. Beliau memandang budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang rumit yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang – undang, adat resam dan lain – lain kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Dalam konteks pendidikan, kepelbagaian sosio budaya individu itu bukan sahaja dilihat dari ras, etnik dan adat budaya mereka sahaja. Malah ia juga merangkumi skop yang lebih besar. Menurut Papalia (2001) individu manusia itu berbeza dari segi jantina, saiz badan, kesihatan, tahap tenaga, personaliti dan emosi. Manakala Slavin (1997) pula mengaitkan perbezaan individu dengan konteks pengajaran dan pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina , bakat dan minat.
Kepelbagaian sosio-budaya di antara murid memberi implikasi secara langsung terhadap guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Konsep Budaya

Budaya merangkumi nilai, kepercayaan, tingkah laku dan objek-objek material yang meliputi cara hidup sesebuah kelompok manusia tertentu. Budaya ialah manifestasi apakah yang kita fikirkan, apakah yang kita percayai, apakah yang kita nilai, bagaimanakah kita bertindak, apakah yang kita kata dan apakah yang kita ada. Budaya ialah warisan sosial- satu jambatan yang menghubungkan masa kini kepada masa lampau dan yang menjadi petunjuk kepada masa hadapan. Mengikut ahli sosiologi, budaya perlu dilihat dari dua sudut, iaitu budaya bukan material yang mencerminkan aspek intangibel, iaitu idea-idea yang dibentuk oleh ahli dalam masyarakat dan budaya material, iaitu bahan-bahan artifak yang dicipta oleh ahli masyarakat.


            Schein (1985) menganggap intipati budaya ialah andaian-andaian asas dan kepercayaan yang dikongsi oleh warga organisasi. Andaian-andaian dan kepercayaan ini beroperasi secara tidak disedari sehinggakan warga organisasi menganggap amalan dan nilai organisasi sebagai ’biasa sahaja’ dan tidak perlu dipersoal. Aspek inilah yang menyukarkan organisasi berubah kecuali jika andaian-andaian dan kepercayaan yang berakar umbi dan tidak disedari ini dipersoal dan dikaji oleh warga organisasi. Sebagai contoh, sistem pengaliran dan pendekatan sekolah mendisiplinkan pelajar dipercayai yang paling baik dan tidak perlu dipersoal. Selagi kepercayaan tidak berubah, maka sukarlah untuk sekolah berubah. Satu lagi sebab mengapa budaya sukar diubah ialah kerana budaya sukar difahami kerana bersifat implisit dan kita hanya dapat melihat dari aspek luaran melalui tingkah laku amalan-amalan, rituals dan upacara (ceremonies).

            Bagaimanakah kepercayaan dan nilai ini dapat dicerminkan dalam bentuk luaran budaya? Nias dan rakan-rakan (1989) memerihalkan proses ini dengan mengesan lapisan luar budaya itu dahulu. Cuba kita gambarkan proses pembentukan budaya sebagai lapisan bawang yang dipotong memanjang. Mengikut Nias, tingkah laku dipengaruhi oleh norma-norma dan peraturan, yang mencerminkan nilai-nilai ahli kelompok sosial itu. Nilai-nilai warga organisasi tentang apa yang dianggap baik dan penting ini pula merupakan ekspresi kepercayaan mereka yang sukar difahami oleh orang luar kerana nilai itu dikongsi dan difahami oleh kelompok sosial itu sahaja dan jarang disuarakan.

Sistem kepercayaan yang dikongsi yang menjadi inti pati budaya sesebuah organisasi inilah yang sukar diubah dan perlu diambil kira jika sesebuah organisasi itu mahu berubah.Seperti yang diketahui, Malaysia amat dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum. Secara tidak langsung, pelbagai budaya akan wujud dalam sesebuah bilik darjah. Oleh yang demikian, guru tidak seharusnya menganggap ini sebagai satu masalah dengan kehadiran murid yang berbeza dari segi individu dan budaya tetapi menjadikan fenomena ini sebagai keistimewaan yang wujud dalam bilik darjah. Murid yang hadir dari pelbagai ras atau etnik akan membawa budaya mereka tersendiri yang berbeza daripada budaya makro (budaya dominan) yang menjadi budaya formal sekolah. Murid berbeza dari segi cara mereka berkomunikasi (verbal dan bukan verbal), nilai-nilai sosial dan intelektual, cara berinteraksi, gerak badan dan pandangan (world view) merka yang dipengaruhi oleh budaya masyarakat asal mereka.
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) merupakan satu program yang menggalakkan penglibatan masyarakat setempat, para guru dan kerjasama murid-murid dalam kegiatan-kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran. Melalui program ini juga diharap dapat melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagai kaum di sekolah.

Berdasarkan program ini, jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Keperluan pendidikan berbilang budaya ini amat meruncing di Malaysia. Murid-murid datang daripada latar belakang dan budaya yang berbeza. Oleh itu, guru perlu peka kepada kepelbagaian ini supaya tiada kelompok merasakan diri mereka tersisih di sekolah atau di bilik darjah.
Pendekatan ini turut menjadikan guru lebih peka kepada amalan-amalan sekolah yang selama ini diterima tanpa dipersoal. Ada amalan-amalan sekolah secara tidak langsung mendiskriminasi golongan tertentu. Sebagai contoh, sistem pengaliran, pengisian kurikulum dan buku teks yang tidak mengambil kira keperluan dan pengertiannya bagi murid-murid yang berbilang latar belakang, mungkin menyebabkan murid tertentu berasa tersisih dan ketinggalan. Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya dapat membantu guru dalam mengenali murid dengan lebih dekat lagi.

Apabila guru dan pihak sekolah peka kepada kepelabagaian muridnya dan mengambil inisiatif untuk memahami keperluan dan mengenal mereka dengan lebih dekat lagi, sekolah akan lebih bermakna kepada sebilangan besar murid. Selain itu, melalui bilik darjah yang mesra budaya ini juga dapat mengurangkan stereotaip dan prasangka (prejudice) dalam kalangan guru dan murid. Ada guru yang mempunyai prasangka (negatif) kepada murid disebabkan ras, agama, kecacatan atau kebolehan mereka.
Pendekatan ini memberi peluang kelompok yang berasa tersisih, meningkatkan keyakinan diri mereka selain meningkatkan peluang mereka mengecapi kejayaan.
Jika dikaitkan dengan konteks RIMUP, persekitaran yang mesra budaya dapat meningkatkan peluang untuk berjaya dan menimbulkan kesefahaman dan perpaduan dalam kalangan murid. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, budaya asal seseorang murid itu boleh mempengaruhi tingkah lakunya di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang lemah dan datang dari keluarga yang miskin mempunyai gaya belajar yang berbeza. Mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar yang lebih spesifik berbanding dengan murid yang lebih berupaya yang hanya memerlukan bimbingan sahaja dan boleh belajar sendiri.


Implikasi Kepelbagaian Sosio Budaya Terhadap Pengurusan  Dan Proses Pengajaran Dan pembelajaran Dalam Bilik Darjah.

Kepelbagaian sosio-budaya di Malaysia turut memberi kesan kepada sistem pendidikan. Ini memberi cabaran kepada guru dalam usaha untuk memberikan pendidikan yang seimbang kepada murid tanpa mengira latar belakang dan kaum. Selain itu, implikasi ini turut memberi kesan kepada murid, sekolah malah kepada kurikulum tersirat. Oleh itu, semua pihak harus mengetahui peranan mereka dalam implikasi tersebut.

1.      Guru

Kesan daripada kepelbagaian sosio-budaya di Malaysia memberikan cabaran kepada guru untuk memastikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakannya dapat diterima oleh semua murid. Ini dapat dijalankan sekiranya guru menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan bersikap profesional dalam pekerjaannya.
Guru perlu sentiasa bertindak dalam memastikan ruang pembelajaran murid tidak terganggu dengan perbezaan latar belakang, kelas sosial dan kaum masing-masing dengan cara tidak membezakan mereka di antara satu sama lain. Contohnya, guru akan memastikan murid dari pelbagai latar belakang ditempatkan dalam satu kumpulan yang sama semasa melakukan aktiviti berkumpulan. Ini akan memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi sesama sendiri secara terbuka seterusnya mewujudkan pergaulan yang tidak berkelompok dan tanpa sekatan budaya dan masyarakat. Suasana pembelajaran yang menyeronokkan akan terbentuk dan ini dapat membantu guru untuk mengawal persikataran bilik darjah dengan berkesan. Selain daripada itu, guru juga perlu sentiasa membantu murid untuk memahami diri sendiri dalam membentuk nilai, sikap dan tingkah laku yang sesuai. Murid dibimbing untuk memahami kekuatan pada diri sendiri yang boleh digunakan untuk membantu murid lain. Ini dapat menjadikan murid tersebut rasa dihargai dan akan sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang dilakukannya. Guru juga perlu membantu murid membina konsep positif kendiri serta memberi tunjuk ajar bagi meningkatkan prestasi murid samada dari segi akademik dan sebagainya.

Guru juga perlu menunjukkan teladan yang baik di hadapan murid-murid. Contohnya guru datang awal ke bilik darjah, sentiasa bersikap adil dan sentiasa berdisiplin dalam apa jua hal. Perkara ini akan meningkatkan rasa hormat murid terhadap guru dan menjadikan guru sebagai idola mereka. Hubungan guru dengan murid akan erat dan ini akan meningkatkan minat murid untuk meneruskan pembelajaran mereka.

Seterusnya, guru bertanggungjawab untuk membina persefahaman di antara setiap murid yang berlainan latar belakang. Langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan bagi menghalang mana-mana aktiviti yang tidak diingini seperti pergaduhan antara kaum, mengejek dan menghina antara satu sama lain  dan sebagainya. Guru perlu menerangkan kepada murid mengenai perlunya menghormati kepercayaan setiap kaum dan isu-isu sensitif yang tidak harus dipertikaikan. Oleh itu, aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan semua kepercayaan, nilai dan agama perlu dirancang dengan teliti bagi menaburkan persefahaman di antara setiap murid.

Guru juga perlu memberi ruang yang sama rata kepada semua murid untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembelajaran. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlulah dipastikan tidak mempunyai unsur bias kepada mana-mana murid bagi memberi peluang kepada setiap murid untuk menerokai aktiviti pembelajaran. Guru perlu menggunakan bahasa standard kebangsaan yang boleh diterima oleh semua lapisan murid dan bukannya menggunakan dialek bahasa yang sedikit sebanyak memberikan impak terhadap pembelajaran. Penggunaan bahasa yang standard memberi peluang kepada semua murid untuk mengambil bahagian dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kemajuan dan kelemahan setiap murid perlu dicatat dan diambil tindakan dengan cara membuat penambahbaikan terhadap mutu pengajaran dan pembelajaran selain daripada membimbing murid untuk mempertingkatkan prestasi tanpa membezakan di antara satu sama lain. Guru boleh meminta pandangan murid-murid mengenai masalah pembelajaran yang mereka hadapi dan aktiviti-aktiviti yang ingin mereka lakukan secara bersama-sama. Guru perlu sentiasa memikirkan kaedah pengurusan bilik darjah yang berkesan. Selain daripada itu, guru juga perlu mengetahui dan memahami bidang kerjayanya dan bijak dalam mengendalikan anak-anak muridnya.

2.  Murid

Murid secara bersama-sama dalam satu kumpulan besar akan sentiasa mengikut aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung dalam bilik darjah. Perbezaan antara satu sama lain seringkali mendesak guru untuk memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang dapat dilakukan dengan betul dan tepat. Mahu tidak mahu, murid perlu meneruskan pembelajaran mereka bersama-sama selaras dengan kepelbagaian sosio-budaya masyarakat.

Murid harus bersosial di antara satu sama lain dalam melakukan aktiviti bagi memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai. Ini dapat direalisasikan sekiranya murid dapat membuang sikap prejudis terhadap latar belakang murid lain dan berinteraksi di antara satu sama lain. Kepercayaan dan amalan agama yang dianuti oleh setiap murid perlu dihormati bagi memastikan proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Sikap hormat dan menghormati di antara satu sama lain berupaya
untuk menyemai semangat saling percaya mempercayai di dalam jiwa murid dan secara tidak langsung semangat perpaduan dapat dijalinkan seterusnya membentuk individu yang toleran ke arah pemacu pembangunan negara.
Murid juga perlu mengamalkan penggunaan bahasa yang standard dan mengelakkan unsur-unsur dialek mengikut kaum. Murid perlu berusaha untuk menggunakan bahasa yang betul dalam interaksi dengan individu lain. Penggunaan dan pengamalan bahasa standard akan menambahkan tahap penguasaan bahasa murid selain daripada mencapai kematangan sosial yang sepatutnya. Guru juga perlu bertanggungjawab dalam mengingatkan murid dan memperbetulkan bahasa murid agar tidak melarat ke dewasa.

Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang di kalangan murid. Interaksi yang berterusan di antara murid akan menimbulkan rasa sayang, hormat dan sebagainya di antara satu sama lain. Guru juga boleh menggunakan pendekatan penyayang dalam komunikasi, bercakap dengan lembut dan sopan, menegur kesilapan murid dengan cara yang berhemah dan sebagainya. Ini akan ditiru dan diguna pakai oleh murid dalam komunikasinya dengan orang lain. Ini dapat menjana suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih dinamik dan cara pembentukan akhlak dan penerapan kemahiran dapat dilakukan dengan mudah dan berkesan. Guru perlu memastikan budaya bilik darjah dibentuk bagi menarik minat murid supaya berusaha untuk mengembangkan potensi diri ke arah pembentukan modal insan yang berkualiti.

Dorongan dan bimbingan guru dan rakan sebaya perlu bagi mendisiplinkan  diri untuk memberi peluang kepada diri sendiri untuk berusaha. Murid perlu sentiasa untuk berusaha demi mempertingkatkan keupayaan diri
sendiri di samping menjaga  perhubungan dengan murid lain yang mempunyai latar belakang yang berbeza selaras dengan kepelbagaian sosio-budaya masyarakat setempat.

3. Sekolah

Sistem pendidikan negara mempunyai pelbagai jenis pilihan sekolah yang boleh diikuti oleh murid. Kepelbagaian sosio – budaya telah mewujudkan sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti sekolah kebangsaan untuk semua kaum, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Oleh itu, aktiviti-aktiviti di sekolah dirancang dengan teliti bagi mengatasi kepelbagaian sosio-budaya ini.

Sekolah merupakan ruang untuk guru menerapkan kepercayaan dan nilai dalam masyarakat.Oleh itu, murid perlu diterapkan dengan nilai-nilai yang baik tanpa mengira latar sosio-budaya mereka. Murid juga harus sentiasa diingatkan agar sentiasa mengikut aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah. Selain daripada meningkatkan pengetahuan murid, hubungan di antara setiap murid dapat dijalinkan melalui aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah.

Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dalam membina perhubungan tersebut selain daripada sekolah. Program Intergrasi Untuk Perpaduan (RIMUP) adalah salah satu aktiviti yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran bagi memastikan perpaduan dipupuk di kalangan murid tanpa mengira latar belakang, agama, kaum, jantina dan sebagainya. Pihak-pihak berwajib boleh menyumbangkan sokongan samada dalam bentuk moral ataupun material bagi mengembangkan lagi pengetahuan dan perpaduan di kalangan murid.

Sekolah Wawasan ditubuhkan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid di sekolah. Sekolah ini adalah antara sekolah yang dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam.

Apabila murid-murid yang berlainan latar belakang dapat berinteraksi sejak peringkat awal persekolahan, sudah tentu masa depan akan lahir satu generasi yang hormat dan bertoleransi di antara satu sama lain. Oleh itu, penekanan semangat perpaduan dan integrasi antara kaum perlu dipupuk sejak kecil iaitu dibangku sekolah rendah kerana ia akan lebih memudahkan mereka untuk menghadapi masyarakat di masa akan datang.



4. Kurikulum Tersirat

Kurikulum merujuk kepada perancangan bertulis yang sistematik merangkumi objektif, kandungan, strategi penyampaian dan penilaian untuk dilaksanakan. Kurikulum tersirat pula merujuk kepada norma, nilai dan kepercayaan yang disebarkan melalui pendidikan formal dan interaksi di sekolah.

Kurikulum tersirat memberi penekanan kepada persekitaran yang wujud di kalangan warga sekolah. Budaya akademik di sekolah boleh dikatakan sebagai kurikulum tersirat. Kurikulum tersirat juga boleh dilaksanakan melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti berpersatuan, kegiatan panitia dan sebagainya.

Kurikulum tersirat merangkumi nilai-nilai yang dibentuk oleh warga sekolah sendiri seperti amalan, prosedur, peraturan, pertalian dan struktur di sekolah. Ianya dijalankan secara tidak langsung seperti murid mempelajari tingkah laku baik guru, guru mempamerkan akhlak budi pekerti, hubungan rapo di antara warga sekolah dan sebagainya. Nilai, norma, peraturan, daya intelek dan apa juga yang dibawa di dalam persekitaran sekolah akan memberi kesan secara tidak langsung tetapi amat bermakna terhadap amalan hidup murid.

Namun demikian, sesetengah kurikulum tersirat kadang-kadang mempunyai konotasi negatif kerana nilai-nilai yang disebarkan mungkin menjurus kepada hal-hal seperti menyokong perbezaan kelas di mana murid dibahagikan kelas mengikut tahap kepandaian, kaum dan jantina dan ini akan menjurus kepada pengagihan modal pendidikan secara tidak sekata. Dalam hal ini, guru perlu memainkan peranan dan memberikan perhatian kepada kurikulum tersirat sewajarnya supaya bersifat positif ke arah membina keadilan sosial berlandaskan kepada kepelbagaian sosio-budaya masyarakat setempat.


Horizontal Scroll: MURID
- Murid secara bersama-sama dalam satu kumpulan besar akan sentiasa mengikut aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung dalam bilik darjah.
- Murid harus bersosial di antara satu sama lain dalam melakukan aktiviti bagi memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai.
- Murid juga perlu mengamalkan penggunaan bahasa yang standard dan mengelakkan unsur-unsur dialek mengikut kaum.
- Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang di kalangan murid.
 






Horizontal Scroll: SEKOLAH
-.Mewujudkan sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti sekolah kebangsaan untuk semua kaum, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
- Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dalam membina perhubungan tersebut selain daripada sekolah. 
-Program Intergrasi Untuk Perpaduan (RIMUP) adalah salah satu aktiviti yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran bagi memastikan perpaduan dipupuk di kalangan murid tanpa mengira latar belakang, agama, kaum, jantina dan sebagainya
- Sekolah Wawasan ditubuhkan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid di sekolah. Sekolah ini adalah antara sekolah yang dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam.

 












Perbezaan Kaum Di Malaysia
Isu perkauman memang tidak dapat dielakkan apabila terdapat golongan atau kumpulan manusia yang mempunyai beberapa ciri kesamaan seperti biologi atau budaya cuba mempertahankan golongan masing-masing dan pada masa yang sama menindas kaum lain. Banyak organisasi politik dan sosial di negara kita dibentuk berasaskan kepada garis perkauman atau etnik.
Organisasi sedemikian hanya memperjuangkan kepentingan dan merebut hak-hak yang dirasakan perlu tanpa memikirkan kepentingan golongan lain, keharmonian dan kesejahteraan negara. Negara kita juga pernah mengalami peristiwa berdarah akibat daripada rusuhan kaum dalam peristiwa 13 Mei 1969, sehinggakan keadaan darurat terpaksa diisytiharkan di seluruh negara kita. Konflik ras juga boleh mengakibatkan pengasingan kumpulan-kumpulan tertentu dari segi pelajaran, perumahan dan pekerjaan.
Organisasi-organisasi yang demikian akan bersaing untuk mendapatkan sokongan seluas mungkin dari kumpulan etnik masing-masing dengan menggunakan beberapa faktor penting seperti persamaan bahasa, agama, ras atau pengenalan etnik. Apabila kepercayaan dan tindakan demikian meluas dalam masyarakat, sudah tentu ia akan dapat mempengaruhi dan kadang-kadang menentukan perkembangan politik dalam sesebuah negara.
Kesan penjajahan merupakan faktor utama punca konflik etnik dan ras di Malaysia. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaannya selama 40 tahun, tetapi kesan penjajahan British masih segar di minda setiap rakyat. Dasar pemeritahan British bercorak pecah dan perintah telah mengasingkan tiga golongan utama bangsa di Malaysia iaitu golongan Melayu. Cina dan India.
Dasar kolonial mengenai imigrasi, pelajaran, pentadbiran, ekonomi, tanah, bahasa dan kebudayaan telah meninggalkan kesan yang berpanjangan sehingga sekarang. Dasar imigrasinya yang bebas telah mengubah sama sekali komposisi penduduk di negara ini. Dasar ekonominya pula telah menyebabkan timbul pengkhususan ekonomi mengikut etnik dan pengasingan tempat tinggal di kalangan mereka akibat dari kegiatan ekonomi yang berlainan.
Penjajah Inggeris tidak menjadikan pendidikan sebagai alat penting untuk menyatupadukan rakyat yang berbagai etnik itu. Malah apa yang dilakukan ialah mementingkan pendidikan bahasa Inggeris kepada segelintir rakyat khususnya golongan yang berada demi kepentingan pentadbirannya. Sedangkan pendidikan Melayu dilakukan secara melepaskan batuk di tangga sahaja. Pendidikan untuk orang-orang bukan Melayu tidak dipedulikan langsung.
Oleh sebab itu, orang-orang Cina dan India terpaksa mengendalikan sekolah mereka sendiri dan menanggung perbelanjaan sendiri. Perkembangan pendidikan yang tidak terkawal ketika itu akhirnya menimbulkan sikap dan orientasi politik yang berbeza. Di samping itu, melalui dasar dan pentadbirannya pula, Inggeris telah meninggalkan kesan psikologi yang meluas di kalangan rakyat dengan menanam prasangka dan stereotaip di kalangan mereka.
Penjajah Inggeris akhirnya berjaya mempengaruhi sikap orang yang dijajahnya itu supaya menghormati dan menyanjung tinggi mereka sebagai kumpulan yang lebih tinggi daripada kumpulan-kumpulan ras yang lain pada ketika itu. Sebaliknya pula, terdapat banyak prasangka dan stereotaip negatif yang memandang rendah dan hina di kalangan berbagai kumpulan ras. Hal ini bukan sahaja menghalang wujudnya kerjasama dan persefahaman di kalangan mereka tetapi juga boleh menimbulkan syak wasangka dan perasaan benci menbenci di kalangan mereka. Semua kesan ini sukar untuk dikikis habis-habisan biarpun kita telah lama bebas dari belenggu penjajahan British.
Dalam bilik darjah yang pelbagai ras/etnik, seperti yang terdapat di negara kita pelajar membawa budaya mereka tersendiri yang berbeza daripada budaya makro (budaya dominan) yang menjadi budaya formal sekolah. Pelajar berbeza dari segi cara mereka berkomunikasi (verbal dan bukan verbal), nilai-nilai social dan intelektual, cara berinteraksi, gerak badan dan pandangan (world view) mereka yang dipengaruhi oleh budaya masyarakat asal mereka.

            Guru juga membawa budaya mereka tersendiri ke dalam bilik darjah. Jika perbezaan timbul di kalangan pelajar dan antara pelajar dengan guru dari segi cara  mereka berkomunikasi, pandangan, nilai, dan sebagainya maka akan timbul masalah dalam interaksi antara mereka. Jika guru tidak peka kepada kelainan ini, akan timbul salah faham, prejudis dan stereotaip di antara guru dengan pelajar.

            Satu kajian kecil yang dilakukan oleh pelajar saya untuk mengesan sama ada wujud stereotaip di kalangan pelajarnya yang berbilang ras, menunjukkan bahawa pelajar mempunyai stereotaip yang tertentu (selalunya negatif) terhadap ras yang lain dan lebih positif kepada guru yang sama ras dengan mereka. Satu masalah yang timbul dalam bilik darjah berbilang etnik/budaya di mana pelajar dan guru tidak saling memahami antara satu sama lain, ialah ada golongan pelajar yang akan berasa terpinggir dan kurang dapat melibatkan diri dengan aktiviti pembelajaran bilik darjahnya. Dalam bilik darjah berbilang budaya beberapa strategi boleh digunakan oleh guru untuk memastikan tiada pelajar yang berasa terpinggir lantaran ras/etnik dan budaya mereka.

Cara Mewujudkan  Persekitaran Bilik Darjah Yang Mesra Budaya

1.      Menyusun kumpulan murid- murid yang berbilang kaum.

Jika di dalam sesebuah kelas itu terdapat murid yang berbilang kaum, maka murid- murid tersebut sewajarnya dikumpulkan dalam kumpulan yang pelbagai kaum. Contohnya dengan menggabungkan murid- murid Cina, India, dan Melayu dalam satu kumpulan tempat duduk ataupun apabila beraktiviti. Dengan mencampuradukkan murid- murid yang berbilang kaum ini, murid- murid ini akan boleh berkomunikasi dan berinteraksi sesama mereka. Hal ini boleh mewujudkan suasana mesra antara mereka. Apabila pelbagai bangsa ini berinteraksi, pasti mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Ini akan dapat mengelakkan salah faham antara murid- murid dan menambahkan lagi kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan murid yang tidak berbangsa Melayu. Bagaimana pula?
Bayangkan apabila murid- murid Cina asyik bercakap bahasa Cina antara mereka. Mungkin murid Melayu yang tidak faham bahasa Cina akan menyangka bahawa murid- murid Cina itu bercakap tentang mereka. Oleh itu, jika murid pelbagai bangsa dicampurkan, maka hubungan mereka akan bertambah erat. Murid Cina tidak hanya bercakap dan bergaul dengan murid Cina sahaja tetapi juga dengan murid berbangsa lain. Jadi, salah faham akan dapat dielakkan.
Selain itu, murid- murid bukan Melayu akan dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu jika mereka kerap bertutur dalam bahasa Melayu. Biasanya, kanak- kanak bukan Melayu seperti Cina dan India tidak boleh berbahasa Melayu sehinggalah mereka bersekolah. Hal ini bukan sekadar anggapan tetapi ianya adalah satu realiti. Ibu bapa mereka tidak bertutur dalam bahasa Melayu di rumah, maka anak- akan mereka pun tidak akan dapat bertutur dalam bahasa Melayu sehinggalah mereka belajar bahasa ini di alam persekolahan. Jika di sekolah pun mereka diasingkan mengikut bangsa, maka penguasaan bahasa Melayu mereka pasti akan lemah. Lain halnya jika mereka digabungkan bersama murid- murid yang berbeza bangsa, ini akan menyebabkan mereka menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan mereka. Dengan cara ini secara tidak langsung jati diri sebagai anak Malaysia akan dapat diterapkan dalam kalangan murid kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia. Dengan itu, wujudlah satu budaya berbahasa Melayu yang akan menjadi budaya Satu Malaysia.
Selain itu murid- murid yang berbilang kaum ini boleh bekerjasama antara satu sama. Kerjasama ini boleh membentuk kesepaduan antara mereka dan juga dapat membentuk budaya satu Malaysia. Melalui kerjasama ini, proses penerimaan akan berlaku antara pelbagai budaya. Hal ini membawa makna walaupun murid- murid ini berbeza bangsa dan agama, masing- masing boleh menerima dan menghormati budaya rakan- rakan lain.

2.      Mewujudkan ruang fizikal dan peralatan serta kemudahan yang dapat memberi keselesaan, kegembiraan, dan memberi kesan positif kepada hasil pembelajaran murid.

Untuk membina persekitaran P&P yang mesra budaya, keselesaan, kegembiraan serta hasil pembelajaran murid perlu dititikberatkan. Ruang fizikal boleh menjadi salah satu daya penarik dalam sesebuah bilik darjah. Contohnya ruang bacaan, sudut informasi, ruang hasil kerja murid dan sebagainya. Dengan wujudnya ruangan- ruangan seperti ini, guru boleh memupuk budaya positif seperti budaya cintakan ilmu dan budaya membaca. Selain itu, dengan mewujudkan ruang hasil kerja murid, guru boleh meningkatkan motivasi murid untuk belajar, mencuba sesuatu yang baru dan memperkembangkan bakat yang dimiliki.

            Dalam pada itu, guru juga hendaklah memastikan ruang murid- murid belajar adalah dalam keadaan bersih, selesa, dan ceria. Dalam hal ini, guru sememangnya memainkan peranan utama tetapi haruslah juga dibantu oleh murid- murid. Guru berperanan menyediakan jadual bertugas untuk membersihkan bilik darjah setiap hari. Selain itu, guru juga perlu untuk memastikan pencahayaan di dalam sesebuah kelas itu mencukupi manakala pengudaraannya adalah baik. Susun atur bilik darjah seperti susun atur kerusi, meja dan peralatan juga hendaklah kemas dan memudahkan pergerakan murid dan guru. Semua inilah yang dapat memberikan keselesaan kepada murid ketika sesi P&P. Dari segi keceriaan pula, guru perlu mereka bentuk hiasan yang bukan sahaja menarik tetapi juga boleh bersesuaian dengan keadaan bilik darjah. Kadangkala bilik darjah yang dihias keterlaluan boleh menggangu tumpuan murid terhadap P&P serta memburukkan lagi suasana. Oleh itu hiasan bilik darjah hendaklah berpada- pada.

Selain itu, guru juga boleh mewujudkan peralatan yang dapat menarik minat murid untuk meneruskan sesi pembelajaran. Peralatan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada alat bantu mengajar. Alat bantu mengajar yang bukan sahaja menarik tetapi juga sesuai dengan topik pembelajaran pasti akan mendorong murid untuk memberi tumpuan semasa guru mengajar. Contohnya, dengan menggunakan diorama semasa mengajar topik habitat haiwan dalam subjek sains, murid akan lebih tertarik dan sekaligus membina kefahaman yang lebih tinggi tentang topik berkenaan. Daya tarikan sesungguhnya sangat berkesan dalam membina memori jangka masa panjang. Oleh yang demikian, murid dapat mengingat isi pembelajaran dengan lebih baik.

Sebagai salah satu bonus buat guru, kemudahan yang sedia ada di sekolah boleh digunakan dalam membentuk persekitaran P&P yang mesra budaya. Misalnya kemudahan komputer dan internet di sekolah boleh memupuk budaya celik IT dalam kalangan murid.

3.      Mewujudkan peraturan bersama yang dijadikan budaya.

 Persekitaran P&P yang mesra budaya juga mengambil kira unsur peraturan yang perlu diaplikasikan oleh murid. Peraturan yang dibuat oleh guru dan dilaksanakan oleh murid secara berterusan lama- kelamaan akan menjadi budaya. Sebagai contoh, guru mewujudkan peraturan bahawa murid mesti memberi salam kepada guru apabila guru masuk ke kelas dan bersalaman dengan guru apabila tamat sesi persekolahan. Peraturan ini kemudiannya akan dijadikan budaya oleh murid- murid apabila mereka sudah sebati dengan peraturan ini. Mereka akan melakukannya walaupun tanpa disuruh berbuat demikian. Budaya seperti ini merupakan satu budaya yang mulia kerana ada nilai menghormati guru di situ. Apabila guru dihormati, maka pelajaran akan lebih berkat lagi.

            Selain itu, murid- murid juga boleh diajarkan budaya bertepuk tangan setiap kali ada murid yang berani memberi jawapan apabila guru memberi soalan meskipun jawapan itu salah. Budaya bertepuk tangan ini menandakan bahawa kita menghargai keberanian murid tersebut memberikan jawapan dan memberi gambaran bahawa keberanian murid itu disokong oleh rakan- rakannya yang lain. Budaya seperti ini dapat menggalakkan murid lebih aktif dalam sesi P&P dan tidak takut mencuba.
 Contoh lain pula ialah dengan budaya satu dapat, semua dapat. Jika seorang murid yang melakukan kesalahan, maka semua murid dalam satu kelas itu juga akan dikenakan hukuman. Misalnya, jika ada seorang murid yang berbuat bising, maka murid- murid lain juga akan sama- sama didenda. Dengan cara ini, disiplin murid akan dapat dikawal dengan lebih baik kerana setiap individu akan mengingatkan individu lain. Selain itu, budaya seperti ini juga dapat memupuk kesatupaduan dalam kalangan pelajar. Contohnya, jika seorang murid dapat menjawab satu soalan dan diberi hadiah 5 biji gula- gula, murid lain juga mendapat hadiah iaitu sebiji gula- gula. Apabila saja ada yang diberi hadiah, murid lain juga akan diberi hadiah cuma kuantitinya berbeza. Cara ini akan dapat mengurangkan rasa rendah diri murid sekiranya tidak berjaya menjawab dan ia akan membuatkan mereka menyokong sesiapa pun yang berjaya dalam kalangan mereka kerana kejayaan seorang daripada mereka akan dikongsi bersama. Akan ada rasa perkongsian di situ dari segi hukuman mahupun imbuhan. Cara ini akan dapat melahirkan murid- murid berbilang kaum yang bersatu ibarat kata pepatah ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa jua’. 

Budaya bukan sekadar rutin hidup atau amalan harian, tetapi ia juga menjadi identiti kepada susuatu kelompok yang mengamalkannya. Contohnya, jika murid- murid di kelas A mempunyai ruang bacaan sendiri dan sering dilihat membaca, maka budaya membaca itu adalah identiti mereka. Jika murid- murid kelas B pula mengamalkan budaya bersalam dengan guru setiap kali hendak pulang ke rumah, maka budaya menghormati guru itu akan menjadi identiti bagi murid- murid kelas B.

4.      Mengaitkan isi pembelajaran dengan budaya.

Proses P&P bukan sahaja berlaku di dalam bilik darjah tetapi juga boleh berlaku di luar bilik darjah seperti di padang dan perpustakaan. Oleh itu, fokus untuk mewujudkan persekitaran P&P mesra budaya bukan hanya tertumpu di dalam bilik darjah. Guru boleh mewujudkan suasana mesra budaya itu melalui amalan pedagogi. Untuk mewujudkan suasana P&P yang mesra budaya, salah satu caranya ialah dengan mengaitkan isi pembelajaran dengan budaya kaum yang berkaitan. Dalam konteks ini, budaya yang dimaksudkan ialah budaya kaum- kaum yang pelbagai. Dengan cara ini, murid- murid akan tahu bahawa budaya mereka itu bukan sekadar warisan tetapi ia juga bersangkut paut dengan ilmu pengetahuan. Di sini, mereka akan lebih menghargai budaya mereka dan dapat berfikir secara logik. Contohnya dalam subjek sains iaitu dalam topik pengawetan makanan, guru boleh mengaitkan pelbagai cara mengawet makanan yang terdapat dalam budaya pelbagai kaum. Misalnya kaum kadazan menghasilkan sejenis makanan yang dinamakan ‘basou’ dengan cara menjeruk nasi dan ikan. Kaum cina pula membuat kuih pau dengan cara pengukusan.

Selain itu, dalam subjek pendidikan Islam pula guru boleh mengaitkan adab terhadap orang yang lebih tua dengan budaya Melayu seperti adab melintas di hadapan orang tua dan bersalaman dengan orang tua. Jika dalam subjek Pendidikan Moral pula, guru boleh mengaitkan adab menghormati orang tua itu dalam budaya India dan Cina.

Satu lagi subjek yang boleh mengaitkan isi pembelajaran dengan  budaya pelbagai kaum ialah subjek sejarah. Dalam subjek ini, guru boleh mengaitkan pelbagai kebudayaan. Contohnya budaya Cina dan Melayu yang digabungkan lalu mewujudkan budaya Baba dan Nyonya di Melaka.

Meskipun mengaitkan budaya- budaya pelbagai kaum dalam pelbagai subjek mungkin hanya selingan, namun impaknya boleh jadi besar kepada murid- murid jika ia sering dilakukan.

5.      Menggunakan kaedah belajar sambil bermain.

Kaedah main merupakan satu kaedah yang amat sinonim dalam P&P sekolah rendah. Main merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan dan dapat menarik perhatian murid- murid. Ia juga adalah budaya bagi golongan kanak- kanak. Oleh itu, apa kata kalau kita gunakan kaedah ini dalam P&P dan pada masa yang sama menyelitkan unsur budaya pelbagai kaum? Bagaimana pula ia dilakukan? Dalam budaya pelbagai kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Bajau, Iban dan sebagainya pasti ada permainan tradisi. Permainan tradisi juga merupakan satu budaya.

Dengan menggunakan permainan tradisi sesuatu kaum dalam P&P, guru bukan sahaja boleh mengajar topik yang perlu diajar tetapi pada masa yang sama boleh menyerapkan ilmu pengetahuan tentang budaya sesuatu kaum itu kepada murid- muridnya. Contoh yang paling mudah ialah dalam subjek Pendidikan Jasmani. Permainan tradisional boleh digunakan dalam mengajar murid- murid tentang pergerakan asas yang meliputi pergerakan lokomotor, pergerakan bukan lokomotor dan manipulasi alatan. Misalnya dalam permainan ketingting yang merupakan salah satu permainan tradisi Melayu, murid boleh belajar tentang pergerakan lokomotor ketingting( melompat dengan satu kaki) dan pergerakan bukan lokomotor iaitu imbangan badan. Permainan masyarakat India seperti Kabaddi pula boleh digunakan untuk dijadikan permainan kecil.

Selain daripada subjek Pendidikan Jasmani, guru juga boleh menggunakan permainan tradisi ini dalam subjek lain seperti subjek Matematik dan Bahasa Melayu. Contohnya dalam subjek Matematik, guru boleh menggunakan permainan batu seremban untuk mengajar murid mengira. Dalam subjek bahasa Melayu pula, guru boleh menggunakan permainan baling kelapa dalam proses pengukuhan perbendaharaan kata dalam kalangan murid dengan memanipulasikan peraturan permainan tersebut.  












 
















Text Box: 5. 5. Menggunakan kaedah belajar sambil bermain.

                                                       













REFLEKSI

               Tanggungjawab melaksanakan tugas kerja kursus Budaya dan Pembelajaran  (EDU3106), saya telah mendapat banyak faedah yang berguna dan baik untuk diri saya sebagai seorang guru.Setelah membuat banyak rujukan dan perbincangan bersama rakan-rakan, saya lebih mengenali dan memahami tentang kepelbagaian sosio budaya yang wujud di negara ini dari perspektif bangsa, kelas sosial, kepercayaan dan bahasa yang sebelum ini tidak didedahkan secara terperinci kepada saya.
                Saya juga merasai kepentingan Program Pensiswazahan Guru terhadap diri saya  sebagai seorang guru, ilmu ini saya pasti perlukan untuk melaksanakan tugas harian yang semakin mencabar. Segala pengalaman dan ilmu-ilmu baru yang telah saya perolehi, dengan izin Allah S.W.T, saya praktikan sebaik mungkin nanti. Setelah saya banyak membuat pencarian maklumat, saya berharap ilmu ini akan terus memberi manfaat kepada murid-murid.
                 Selain itu, melalui proses menyiapkan tugasan kerja kursus ini yang saya laksanakan bersama rakan-rakan telah membuat hubungan silahturrahim antara kami semakin rapat.Sikap toleransi dan kerjasama pensyarah dan rakan-rakan juga dapat ditingkatkan melalui proses menyiapkan tugasan kerja kursus. Saya mula lebih mengenali sikap dan sahsiah rakan-rakan dan cara pengajaran pensyarah dan hal ini sekaligus mengukuhkan hubungan dua hala kami.
                 Tambahan pula, pengalaman berinteraksi bersama pensyarah dan rakan-rakan bagi melaksanakan tugasan ini membolehkan saya memperbaiki dan meningkatkancara saya berkomunikasi dengan baik. Sukacita, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pn. Hjh. Haslina Bt. Hanapi.  Tunjuk ajar yang diberikan oleh beliau dalam proses menyiapkan tugasan kerja kursus ini membolehkan saya memperbaiki kelemahan yang terdapat pada diri saya dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa hadapan. Akhir kata, saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izinNya dapat saya menyiapkan tugasan saya ini. Jaza’ kumullah khairan jaza’

Sekian.Wassalam.




BIBLIOGRAFI

Boon, P. Y, Noriati A. Rashid, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A. Majid. (2011). Budaya dan Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Melissa Ching, Adnan Baharom .( 2011) : Budaya dan Pembelajaran. Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon.( 2010 ): Budaya dan Pembelajaran .Penerbitan Multimedia Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

Apa Yang Fahami Tentang Ras .Dilayari daripada:http://sarjana.tripod.com/konflik1.html pada 25 Julai 2012.

Bilik Darjah Mesra Budaya. Dilayari daripada ://www.scribd.com/doc/46531299/Bilik-Darjah-Mesra-Budaya pada 23 Julai 2012.

Konsep Bilik Darjah Yang Mesra Budaya. Dilayari daripada http://Nyongatthesky.Blogspot.Com/2009/05/Konsep-Bilik-Darjah-Yang-Mesra-Budaya_29.Html pada 20 Julai 2012. 

Perbezaan Ras / Etnik Di Dalam Bilik Darjah.Dilayari daripada :http://ppkismkkl.blogspot.com/2012/01/perbezaan-ras-etnik-di-dalam-bilik.html pada 25 Julai 2012.




BORANG REKOD KOLABORASI

NAMA PELAJAR                                                :  YM TUAN SEMBOK B TUAN PUTEH

NO K.P                                                  :  660715-11-5527

KUMPULAN                                        :  PPG BMM 1                     SEMESTER           :  3

SUBJEK                                                 :  EDU 3106 BUDAYA DAN PEMBELAJARAN

PENSYARAH PEMBIMBING           :  PN. HJH. HASLINA BT HANAPI


TARIKH

PERKARA YANG DIBINCANGKAN

CATATAN

TANDATANGAN


16.2.2013

Menerima soalan tugasan dan penerangan oleh pensyarah mata pelajaran.

Tugasan perlu dihantar selewat-lewatnya pada 16 Mac 2013.


20.2.2013

Memahami kehendak tugasan,perbincangan dengan rakan-rakan.


Mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan tentang tugasan yang perlu  dibuat.


25.2.2013

Mencari dan mengumpul bahan daripada internet/pusat sumber.


Cetakan maklumat internet.
Membuat nota ringkas.
Catatan bibliografi.




28.2.2013



Menyediakan draf tugasan.

Menyusun maklumat.
Menganalisis maklumat mengikut kehendak tugasan.
Menghubungkait maklumat yang relevan.
Menaip draf tugasan.


2.3.2013

Berbincang dengan pensyarah mengenal draf tugasan.

Membuat pembetulan
terhadap komen yang diberikan oleh pensyarah.


16.3.2013

Menghantar tugasan lengkap kepada pensyarah mata pelajaran.

Diterima dan direkodkan.






PENUTUP DAN RENUNGAN





orang biasa je!!!...

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Bacalah al- Qur'an kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

dilahirkan di k.trg...dibesarkan k.trg dan kuantan!!! berpindah ke k.trg thn 1995 sehingga kini...


                         Wassalam

1 comment:

  1. Lucky Club Lucky Club Review 2021
    Lucky Club Lucky Club Lucky Club provides players a lot of fun. Read our full review about Lucky Club Lucky Club Lucky Club 🎲 Games: 600+💸 Min Withdrawal: €/$50💰 Min Deposit: €/$100🎰 Min Withdrawal: luckyclub €/$300 Rating: 4 · ‎Review by LuckyClub.me

    ReplyDelete